Geografi

Eropah ialah sebuah benua yang terletak di barat laut Eurasia, dikelilingi Lautan Atlantik, Lautan Artik dan Laut Mediterranean. Benua ini mempunyai pelbagai bentuk muka bumi, daripada banjaran Alps yang bersalji, sungai-sungai besar seperti Rhine dan Danube, hingga ke pantai Mediterranean yang cerah. Iklimnya berbeza mengikut musim dan kawasan, jadi setiap musim menawarkan pengalaman perjalanan yang berlainan.

Sosial & Budaya

Eropah terdiri daripada banyak negara dengan bahasa, budaya dan sejarah tersendiri. Ramai pengembara menyukainya kerana pelbagai negara boleh dilawati dalam satu perjalanan, malah banyak negara menggunakan visa Schengen yang sama. Eropah juga kaya dengan seni bina klasik, muzium, katedral lama dan perayaan tradisional yang masih dihayati hingga kini.

Ekonomi

Eropah antara kawasan ekonomi terpenting dunia, dengan sektor perkilangan, perkhidmatan kewangan, teknologi, fesyen dan pelancongan yang kukuh. Sebahagian besar negara menggunakan mata wang Euro, manakala yang lain mempunyai mata wang sendiri seperti Pound Sterling dan Franc Switzerland. Rangkaian keretapi dan jalan raya yang baik memudahkan perjalanan antara negara.

Tempat Tarikan Pelancongan

Antara tarikan yang paling popular ialah Menara Eiffel di Paris, kanal-kanal di Amsterdam, Big Ben di London, bandar lama Prague dan Budapest, serta pemandangan Alps di Switzerland. Ada juga taman bunga Keukenhof pada musim bunga tulip dan bandar-bandar bersejarah seperti Istanbul. Eropah sesuai untuk pelancong yang mahu menggabungkan sejarah, alam semula jadi dan bandar yang cantik dalam satu percutian.